MAJLIS ZIKIR PERDANA SEDUNIA 2017

Majlis Zikir Perdana Sedunia 2017 merupakan acara kemuncak Haflah Zikir Perdana Sedunia 2017, program ini adalah program tahunan yang diadakan semenjak tahun 2015. Objektif majlis zikir ini ialah menghimpunkan seberapa ramai umat Islam daripada pelbagai latarbelakang, bangsa, tradisi, budaya dan fahaman di dalam satu jemaah untuk sama-sama bermunajat kepada Allah SWT dan berselawat kepada Rasulullah SAW.

Antara pengisian majlis zikir adalah alunan bacaan Al-Quran, ceramah yang disampaikan oleh Mufti, bacaan zikir dan munajat beramai-ramai. Pada sebelah malamnya Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan dijemput untuk menyampaikan Piala kepada pemenang Pertandingan Marhaban yang telah berlangsunag pada sebelah pagi) dan melancarkan secara rasmi penubuhan World Sufi Centre serta Jurnal Tarekat Tasawuf Antarabangsa (QALBU). Bahasa pengantar adalah Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Majlis Zikir Perdana ini bersifat umum dan hadirin yang membanjiri Masjid Putra dan perkarangannya dianggarkan mencecah 50,000 orang.

Natijah daripada menghidupkan himpunan bermunajat kepada Allah SWT, para hadirin akan mendapat fadhilat seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

Daripada Sayyidina Abu Darda R.hu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda “Allah SWT akan membangkitkan pada hari kiamat beberapa golongan yang wajah mereka bercahaya-cahaya. Mereka berada di atas mimbar-mimbar daripada mutiara. Orang ramai akan mencemburui dan mengkagumi mereka, sedangkan mereka itu bukan para nabi dan bukan juga para syuhada.” Maka seorang badwi berkata, “Ya Rasulullah, terangkanlah kepada kami sifat-sifat mulia mereka supaya dapat kami mengenali mereka.” Rasulullah SAW bersabda, “Mereka adalah orang-orang yang berlainan kaum dan berlainan tempat, mereka berkasih sayang semata-mata kerana Allah SWT, mereka berkumpul untuk mengingati Allah SWT dan menyebut namaNya.”

(Hadis Riwayat Tabarani)

TEMA ISLAM IS PEACE masih dikekalkan untuk Majlis Zikir Perdana sedunia 2017 ini sebagai satu komitmen bahawa Islam adalah agama suci yang mencintai dan mempertahankan kedamaian. Keadaan ini juga sebagai mesej yang konsisten kepada dunia bahawa cara hidup umat Islam sentiasa tenang dalam menghadapi musibah atau ancaman dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan.

ARTIKEL BERKAITAN

VIDEO BERKAITAN

GALERI